Me & Family

Me & Family

Tuesday, December 18, 2012

Kanser Payu Dara Lelaki

Jangan hanya kerana jantina anda lelaki, anda fikir anda bebas daripada kanser payu dara. Kanser pembunuh nombor satu wanita sememangnya mampu menyerang kaum Adam. Simptomnya sama seperti kanser payu dara wanita iaitu payu dara tenggelam, wujud ketulan, bengkak dan lelehan nanah yang memerlukan diagnosis lanjut bagi memastikan adakah ia berisiko kanser atau sebaliknya.
 
Kes kanser payu dara lelaki di Malaysia hanya satu peratus berbanding kanser payu dara wanita.
 
Walaupun peratusan kes payu dara lelaki amat sedikit berbanding wanita tetapi jumlah penginapnya meningkat dari tahun ke tahun, menurut Dr. John Low pakar onkologi dari Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur.
 
Lelaki selalunya kalau ada bengkak atau kelainan pada payu dara memang tidak akan terfikir tentang kanser. Tapi mereka tidak tahu jika kelainan tersebut tidak dikesan lebih awal maka ia boleh merebak dengan lebih cepat. Kerap berlaku apabila kanser dikesan ia sudah berada di tahap yang agak lewat dan sukar untuk dirawat dan menyebabkan peratus untuk sembuh menurun.
 
Menurut Dr. Low, penyakit ini ada juga kaitan dengan gen atau keturunan iaitu jika lelaki tersebut mempunyai ibu atau saudara mara wanita yang mengidap kanser payu dara maka risiko untuk dia mengidap kanser yang sama tetap ada. Ia juga berkaitan dengan apa yang dipanggil sebagai sindrom Klinfelter yang mana lelaki normal mempunyai kromosom XY tapi bagi lelaki yang mempunyai kromosom XXY dan mendedahkan mereka dengan penyakit kanser payu dara.
 
"Nasihat saya, lelaki patut sedar tentang penyakit ini terutama jika di kalangan ahli keluarga mereka ada yang menginap kanser payu dara"
 
 Dalam pada itu, kanser payu dara lelaki ini boleh merebak ke organ-organ lain seperti kelenjar limfa, ketiak atau sehingga ke paru-paru dan tulang. Faktor risiko lain adalah pengambilan makanan yang berlemak tinggi, kerap makan daging merah dan makanan segera serta berminyak.

SIMPTOM BARAH PAYU DARA LELAKI
  • Simptomnya hampir sama dengan kanser payu dara wanita dan harus membuat pemeriksaan doktor
    • keluar lelehan (discharge) yang mungkin mengandungi darah
    • payu dara membengkak
    • kesan kerengsaan (ulser) pada kulit payu dara
    • puting tertarik ke dalam (inny nipple)
    • bonjolan di bawah lengan
Prosedur diagnosis dan rawatan pula, ia tidak jauh berbeza dengan kanser payu dara wanita. Lelaki yang bengkak dipayu dara juga akan dikehendaki menjalani ujian mamogram, ultra bunyi dan biopsi. Prosedur tersebut bagi mengesan kehadiran sel-sel kanser kerana mungkin juga kelainan yang dilihat pada payu dara tersebut disebabkan jangkitan kuman dan tidak semestinya kanser.

Bagaimanapun kes di mana kanser payu dara telah merebak ke limfa dan paru-paru, pembedahan segera perlu dijalankan. Pembedahan tersebut dinamakan mastektomi yang mana mengeluarkan nodus (nodes) limfa untuk mengetahui peringkatnya dan kemudian menentukan rawatan yang perlu diambil.

bagi rawatan kimoterapi dan radioterapi pula bergantung kepada tahap keseriusan penyakit tersebut. Biasanya untuk lelaki disarankan radioterapi supaya penyakit tersebut tidak berulang lagi. Penyakit ini kalau dikesan lebih awal memang boleh diubati malah pesakit mungkin tidak perku melalui proses kimoterapi sebaliknya hanya ambil pil hormon selama lima tahun.

Nasihat daripada Dr. Low, lelaki patut sedar tentang penyakit ini terutama jika di kalangan ahli keluarga mereka ada yang mengidap kanser payu dara. Jika perlu pergilah menjalani ujian secara berkala.
 

No comments:

Post a Comment